Menteri Pertahanan,Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membuat tinjauan di Istanbul Shipyard.
KUALA LUMPUR,25 Julai - Pembinaan tiga kapal misi pesisir (LMS) kelompok kedua oleh syarikat pertahanan Turkiye,Savunma Teknolojileri Muhendislik (STM) di Istanbul Shipyard,berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.
Menteri Pertahanan,Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi hantaran di Facebook memaklumkan,LMS pertama dijangka dilancarkan pada April 2026,diikuti LMS kedua pada Jun dan yang ketiga pada Ogos tahun sama.
“Pembinaan LMS kelompok kedua merupakan perolehan pertama selepas pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) kerajaan dengan kerajaan (G2G) bagi perolehan produk pertahanan,ketika lawatan rasmi sulung saya ke Turkiye pada Jun tahun lalu.
“Sudah tentunya kemajuan pembinaan ini penting kerana ia menjadi kayu ukur kepada pendekatan perolehan baharu kerajaan,” katanya.
Menurut beliau,perolehan tersebut disusuli pelaksanaan Program Kolaborasi Industri (ICP) yang berpotensi memberi impak besar terhadap industri pertahanan tempatan,termasuk menerusi pemindahan teknologi yang dijangka dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini.
Tambahnya,Turkiye turut melalui proses yang sama sebelum berjaya menjadi antara pengeluar utama produk pertahanan di peringkat global.
“Melalui pelaksanaan ICP secara berfasa,Turkiye berjaya membangunkan industri pertahanan tempatannya.
“Malaysia mempunyai aspirasi yang sama. Semoga hubungan baik antara kedua-dua negara serta kerjasama strategik ini dapat melonjakkan pembangunan industri pertahanan tempatan,sekali gus mengukuhkan kedaulatan negara,” katanya.