Tentera Diraja Thailand dilihat menaiki kenderaan perisai di jalan raya di Wilayah Chachoengsao,Thailand pada 24 Julai / Foto AFP
KUALA LUMPUR,25 Julai - Malaysia menggesa Thailand dan Kemboja mengambil langkah segera bagi meredakan ketegangan susulan pertempuran tentera antara kedua-dua pihak.
Menurut kenyataan Menteri Luar,Datuk Seri Mohamad Hasan,selaku pengerusi ASEAN,Malaysia sedia menawarkan khidmat sebagai pemudah cara bagi mencapai penyelesaian yang dipersetujui bersama.
"Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,telah menghubungi Perdana Menteri Kemboja,Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand,Phumtham Wechayachai supaya kedua-dua pihak melaksanakan gencatan senjata serta-merta.
Langkah itu bagi mengelakkan permusuhan dan mewujudkan ruang untuk dialog damai serta penyelesaian diplomatik," menurut kenyataan itu.
Tambah Datuk Seri Mohamad,Malaysia menekankan kepentingan Kemboja-Thailand menyelesaikan pertikaian sempadan yang bertunjangkan solidariti ASEAN dan semangat kejiranan yang baik.
Negara ini sentiasa memantau perkembangan terkini pertikaian di kawasan terlibat yang telah mengakibatkan kematian.
Menurut Kementerian Kesihatan Thailand,angka korban akibat serangan pada Khamis meningkat kepada 14 orang.
Manakala,100,672 penduduk dari empat wilayah sempadan telah dipindahkan ke pusat perlindungan.