Prof. Ir. Dr. Abdul Aziz Abdul Raman (dua dari kanan) ketika merasmikan program tersebut/Foto UM
KUALA LUMPUR,25 Julai – Dalam landskap usaha global memerangi HIV seperti kebanyakan negara lain,Malaysia turut berdepan pelbagai cabaran dalam menangani penularan penyakit seks itu.
Atas kesedaran bersama,Klinik Universiti Malaya bersama-sama Kementerian Pendidikan Tinggi,Majlis AIDS Malaysia dan Yayasan AIDS Malaysia menganjurkan Seminar Kesihatan Anak Muda IPTA–Universiti Malaya 2025,hari ini.
Pendaftar Universiti Malaya,Prof. Ir. Dr. Abdul Aziz Abdul Raman dalam ucapannya ketika merasmikan seminar tersebut berkata,seminar itu diharap memberi impak positif kepada kesihatan dan kesejahteraan selain ia selari dengan hala tuju Universiti Malaya dalam Matlamat Pembangunan Mampan SDG 3.
“Inisiatif dilaksanakan oleh Klinik Universiti Malaya ini amat baik. Saya yakin bahawa seminar ini dapat memberikan pendidikan dan kesedaran kepada seluruh warga kampus,juga komuniti setempat,” katanya.
Menurut Pengarah Klinik Universiti Malaya Zuraidah Mohamed,seminar itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan panduan berkaitan aspek penjagaan kesihatan seksual dalam kalangan masyarakat,khususnya pelajar universiti.
“Kesedaran tentang penjagaan kesihatan seksual boleh membantu mengurangkan penyebaran penyakit seperti HIV/AIDS dan jangkitan penyakit kelamin lain. Pengurangan penyakit-penyakit ini melalui strategi intervensi yang menyeluruh dapat menyumbang kepada usaha memerangi jangkitan HIV,Hepatitis,Malaria dan penyakit lain,” katanya kepada RTM.
Tambahnya menerusi seminar itu,lebih ramai individu akan mendapat maklumat tambahan tentang kesihatan seksual dan reproduktif seperti perancangan keluarga,pendidikan seks serta pencegahan penyakit HIV/AIDS dan penyakit kelamin.
Ia secara langsung dapat memastikan akses universal kepada pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif,terutama kepada pelajar institusi pengajian tinggi. Seminar sehari itu mengetengahkan topik-topik penting tentang kesihatan seksual dan kesejahteraan anak muda secara santai,terbuka dan bebas stigma.
Sementara itu,Timbalan Pengarah Eksekutif,Majlis AIDS Malaysia,Chung Han Yang menyeru agar semua pihak terus berganding bahu demi generasi muda yang lebih selamat,lebih sihat dan lebih kuat.