Pertumbuhan ekonomi Malaysia dipacu permintaan domestik, infrastruktur

Oct 17, 2025 IDOPRESS

Foto hiasan

KUALA LUMPUR,15 Oktober - Agensi penarafan MARC Ratings Bhd mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang pada 4.2 peratus pada 2025 dan 4.0 peratus pada 2026,sekali gus memaparkan pengembangan yang stabil di sebalik senario cabaran global.

Ketua Ahli Ekonominya,Dr Ray Choy berkata,pertumbuhan akan dipacu permintaan domestik yang berdaya tahan selain projek infrastruktur dan pembaharuan struktur yang sedang dilaksanakan.

''Kepelbagaian struktur ekonomi Malaysia yang merangkumi perkhidmatan,pembuatan dan industri elektrik dan elektronik,akan terus menjadi asas kepada ketahanan ekonomi,manakala konsolidasi fiskal dan pembaharuan tadbir urus mengukuhkan asas-asas makroekonomi.

“Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang memberangsangkan akan terus disokong oleh kemajuan penting serta inisiatif dasar,termasuk Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura,Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura,Transit Aliran Ringan Pulau Pinang,Lebuhraya Pan Borneo dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL),” katanya dalam pembentangan di Refleksi MARC360 : Analisis Belanjawan 2026 Malaysia dan Hujahan Pasca Belanjawan.

Mengulas Belanjawan 2026,beliau menyifatkannya sebagai inovatif dengan secara jelas melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam usaha memacu pembangunan negara.

“Ini akan merapat jurang dalam matlamat yang digariskan selain memastikan perbelanjaan disalurkan kepada projek berimpak tinggi dan membawa pulangan pelaburan,” katanya.

Menyentuh kemampanan hutang negara,jelasnya aspek itu kekal kukuh,disokong oleh pertumbuhan KDNK yang sihat serta pembaharuan fiskal di bawah Akta Tanggungjawab Fiskal dan Akta Perolehan Kerajaan.

“Pertumbuhan Malaysia terus mengatasi kos khidmat hutang dan pembaharuan untuk memperluas hasil serta mengawal perbelanjaan yang bertujuan mengemudi negara ke laluan fiskal lebih mampan,” ujarnya.

KEMBALI KE ATAS
Cari masa Efinance, memberikan maklumat terkini mengenai berita kewangan, pandangan pelaburan, pasaran saham bank dan pengurusan kekayaan. Tafsiran yang mendalam, pelaburan pintar, semuanya dalam masa yang sama!

© Malay Monetary Times

Dasar Privasi