RUU pinda Akta Pendidikan 1996 dibentang Februari depan

WangDec 19, 2024 IDOPRESS

Menteri Pendidikan,Fadhlina Sidek / Foto RTM

PUTRAJAYA,19 Disember – Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Akta Pendidikan 1996 untuk mewajibkan pendidikan sehingga peringkat sekolah menengah dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Februari depan.

Menteri Pendidikan,Fadhlina Sidek berkata proses semakan terhadap draf RUU tersebut telah selesai di peringkat Jabatan Peguam Negara (AGC).

Menurutnya,inisiatif itu merupakan langkah penting Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan semua kanak-kanak warganegara Malaysia mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti.

"Kita sudah ada dasar pendidikan wajib di peringkat sekolah rendah yang membolehkan kita mencapai kadar enrolmen sangat tinggi,antara 98 hingga 99 peratus.

"Dengan dasar pendidikan wajib di peringkat sekolah menengah ini,kita berhasrat memastikan tiada keciciran,terutama di peringkat menengah atas," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KPM,di sini.

Fadhlina turut menjelaskan bahawa lanjutan pendidikan wajib kepada 11 tahun persekolahan bertujuan memastikan pelajar menamatkan pendidikan menengah dengan kelayakan minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan diiktiraf dalam bidang teknikal dan vokasional.

Sebelum ini,AGC sedang menyemak draf RUU tersebut bagi meluaskan skop pendidikan wajib dari peringkat rendah hingga ke menengah.

KEMBALI KE ATAS
Cari masa Efinance, memberikan maklumat terkini mengenai berita kewangan, pandangan pelaburan, pasaran saham bank dan pengurusan kekayaan. Tafsiran yang mendalam, pelaburan pintar, semuanya dalam masa yang sama!

© Malay Monetary Times

Dasar Privasi