
Foto Fail AFP
SANA’A,16 Oktober –Kementerian Penerangan Yaman pada Khamis memaklumkan bahawa Perdana Menteri Shaya al-Zindani dan anggota kerajaan berada dalam keadaan selamat susulan serangan misil ke atas Istana al-Maashiq di bandar pelabuhan Aden,selatan negara itu,lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
RINGKASAN BERITA AI
−
Media Arab Saudi turut melaporkan bahawa kumpulan Houthi menyerang istana berkenaan,yang menempatkan ibu pejabat kerajaan Yaman di daerah Crater,bandar itu.
Terdahulu,saksi melaporkan terdengar lima letupan di Aden dan melihat kepulan asap naik dari kawasan sekitar istana.
Kerajaan Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa berpusat di Aden,di selatan negara itu,sejak pemberontak Houthi menawan ibu negara Sanaa dan kawasan lain di utara Yaman pada 2014.
Kerajaan itu diketuai Rashad al-Alimi,yang kebanyakannya berada di Riyadh atas faktor keselamatan. Media Arab Saudi melaporkan bahawa pegawai kanan kerajaan Yaman tidak mengalami kecederaan dalam serangan berkenaan.
Aden merupakan antara bandar terbesar di Yaman dan mempunyai pelabuhan penting di sebelah timur Selat Bab al-Mandab. Selama berabad-abad,bandar itu berfungsi sebagai hab perdagangan. Istana berkenaan terletak di atas bukit yang menghadap Teluk Aden.- BERNAMA